Antara petikan akhbar tentang diabetes. (Imej: Google)
Galak kesedaran diabetes
DIABETES sering menjadi perbualan umum, tetapi tidak ramai yang benar-benar menyedari kesan buruk penyakit ini terhadap keupayaan pesakit.
Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia menerusi Tinjauan Selidik Kesihatan dan Penyakit Kebangsaan IV 2011 mendapati, 2.6 juta rakyat Malaysia dewasa berusia 18 tahun ke atas atau 15.2 peratus menghidap diabetes.
Penyakit itu juga dialami kira-kira 285 juta orang di seluruh dunia. Dalam tempoh 20 tahun akan datang, bilangan pesakit dijangka meningkat 50 peratus, menjadikan jumlahnya bertambah kepada 438 juta orang.
Prihatin terhadap masalah berkenaan, Hospital Putrajaya, dengan sokongan Boeh- ringer-Ingelheim dan Eli Lilly, baru-baru ini menganjurkan Acara Jalan Kaki Diabetes Global Putrajaya sempena Hari Diabetes Sedunia pada 14 November.
Bertemakan ‘Pendidikan dan Pencegahan Diabetes’, acara anjuran Persekutuan Diabetes Antarabangsa itu bermatlamat menggalakkan orang ramai memainkan peranan aktif dalam pendidikan dan pencegahan penyakit itu di kalangan ahli keluarga.
Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Dr Aseh Che Mat, berkata program pencegahan dan kawalan bagi penyakit tidak berjangkit (NCD) di Malaysia dilaksanakan sejak 1980-an dan kerajaan terus mengukuhkan pada alaf baru.
“Walaupun berusaha sedaya upaya, kadar kelaziman diabetes terus meningkat di negara ini. Kerjasama lebih rapat antara sektor untuk menganjurkan acara seperti ini diperlukan untuk mendekati orang ramai secara berkesan.
“Saya khuatir dengan gaya hidup kurang sihat yang diamalkan sejak usia muda. NCD seperti diabetes boleh menyebabkan pelbagai penyakit dan kesan lain,” katanya yang merasmikan acara berkenaan.
Menurutnya, buat masa ini NCD punca utama kematian awal di kalangan orang dewasa di Malaysia, yang menyebabkan negara kehilangan penduduk produktif, sekali gus memberi tekanan besar terhadap sistem penjagaan kesihatan yang memang dibebani.
“Kita perlu bersama melaksanakan strategi yang bakal mewujudkan persekitaran memberi tumpuan terhadap makanan kesihatan, tabiat makan yang baik dan aktiviti fizikal tetap dan berterusan,” katanya.
Hari Diabetes Sedunia diraikan setiap 14 November sempena tarikh lahir Frederick Banting, yang memainkan peranan penting bersama Charles Best dalam penemuan insulin pada 1922.
Insulin ialah rawatan yang menyelamatkan nyawa ramai penghidap diabetes. Inisiatif Persekutuan Diabetes Antarabangsa (IDF) yang dilaksanakan menerusi Hari Diabetes Sedunia bertujuan memperkasakan penghidap diabetes berasaskan pendidikan.
Ia juga berganding bahu bersama kerajaan dalam melaksanakan strategi dan kaedah berkesan yang dapat mencegah serta menguruskan diabetes demi melindungi kesihatan penduduk yang menghidap dan yang menghadapi risiko diabetes.
Sementara itu, Pengurus Besar Eli Lilly (Malaysia dan Singapura), Alisha M Benavidez berkata, kempen itu memberi tumpuan khas terhadap kanak-kanak dan golongan muda sebagai peneraju pesanan pendidikan dan pencegahan.
Katanya, matlamat kempen itu ialah mendorong dan menggalakkan masyarakat setempat mengiktiraf betapa pentingnya kesedaran awal serta mengenal pasti risiko dan bahaya diabetes.
“Sebagai orang dewasa, kita perlu menjadi contoh terbaik dan kami yakin acara ini satu aktiviti memperkasakan ahli keluarga dan sahabat untuk berkongsi nilai positif dan maklumat kesihatan antara satu sama lain.
“Pendidikan diabetes harus bermula pada usia muda. Pemilihan makanan yang bijak dan gaya hidup aktif hendaklah dipupuk di kalangan kanak-kanak sejak kecil supaya mereka terus mengamalkan tabiat positif ini apabila dewasa,” katanya.
Pengarah Urusan Boehringer Ingelheim Malaysia, Cheong Yee Kok berkata, pendidikan dan pencegahan terus menjadi peneraju usaha kesedaran diabetes di seluruh dunia dengan panduan dan sokongan IDF.
“Kempen ini berusaha menekankan keperluan segera untuk bertindak demi melindungi kesihatan generasi masa depan kita.
“Susulan Sidang Kemuncak Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai NCD pada 2011, wujud keperluan segera untuk meneruskan dan mengukuhkan momentum yang dijana inisiatif Hari Diabetes Sedunia dan meningkatkan kesedaran mengenai faktor yang menyebabkan wabak NCD dan diabetes global.
“Menerusi acara Jalan Kaki Diabetes Global Putrajaya, kami menekankan kepada umum betapa pentingnya pendidikan dan pencegahan aktif.
“Kita boleh bersama-sama menyokong satu sama lain untuk membuat pilihan sihat, demi masa depan yang lebih cerah,” katanya.
sumber : myMetro Online
No comments:
Post a Comment