Sunday, December 23, 2012

Rezeki bertambah selepas bertudung

Shila Amzah. (Imej: Google)

Tahun Shila
Oleh KHADIJAH IBRAHIM
khadijah.ibrahim@utusan.com.my
Gambar DJOHAN SHAHRIN


Langkah Shila lebih mudah untuk mencari tapak di peringkat antarabangsa.

TAHUN 2012 nyata memberi banyak kenangan manis buat penyanyi Shila Amzah. Selepas lama bertatih, akhirnya kini bakatnya menyerlah.

Impak utama pasti sahaja selepas dia berjaya meraih kejayaan di peringkat antarabangsa apabila bergelar juara pada festival muzik Asian Wave 2012 di Shanghai, China, September lalu.

Sejak itu, nama Shila terus terpahat menjadi antara senarai pemenang antaranya pada anugerah berprestij Anugerah Industri Muzik (AIM) yang baru lalu apabila lagu ciptaan, lirik dan dendangannya, Patah Seribu diangkat sebagai Lagu Terbaik AIM 2012 selain memenangi Lagu Pop Terbaik pada acara yang sama.

Terkini, dia diumumkan pemenang kategori Artis Wanita Terbaik pada Anugerah Planet Muzik (APM) yang berlangsung di Singapura baru-baru ini.

Namun yang paling manis tentunya apabila Shila yang mula aktif menyanyi sejak 2005 tercalon untuk mengungguli anugerah antarabangsa, World Music Awards 2012 (WMA), bersaing dengan penyanyi terkenal dunia antaranya Rihanna, Beyonce, Lady Gaga dan Adele.

Shila tercalon untuk dua kategori iaitu Penghibur Terbaik Dunia dan Artis Wanita Terbaik Dunia yang turut menamakan Datuk Siti Nurhaliza sebagai calon pada anugerah yang bakal berlangsung di Marlin Park, Miami, Florida, Amerika Syarikat, 22 Disember ini.

Penyanyi yang mula berhijab sejak Ramadan lalu itu mengakui apa yang dilalui ketika ini adalah berkat daripada kesabaran dan kurniaan Allah.

"Alhamdulillah, rezeki saya semakin bertambah selepas saya bertudung. Saya sendiri tidak menduga tahun ini membawa seribu rahmat kepada saya yang sudah berkecimpung selama 12 tahun dalam industri muzik tanah air.

"Kemenangan di Shanghai sebenarnya membawa tuah kepada saya dan menerusi pihak pengurusan di sana, Shanghai Media Team Entertainment Group, nama saya dicalon untuk dua kategori di WMA. Saya sangat beruntung kerana mendapat peluang sebegini kerana di samping tercalon, saya juga akan mengadakan persembahan," katanya.

Menurut Shila, dia tidak berani untuk menaruh sebarang harapan kerana nama-nama yang tercalon dalam kedua-dua kategori adalah nama-nama ternama.

"Dapat berada di pentas yang dihadiri oleh artis ternama pun, saya sudah cukup gembira. Apatah lagi nama tercalon dalam kategori yang rata-rata dimonopoli oleh nama besar.

"Niat saya ke sana nak menyanyi, mungkin dari situ akan terbuka pintu rezeki saya. Mana tahu ada pihak yang berminat nak melamar saya," katanya yang ditemani kedua ibu bapa dan Ong Peng Chu, individu yang bertanggungjawab membawanya ke pentas Asian Wave ke WMA.

Shila yang baru selesai mengadakan persembahan bersama Siti Nurhaliza dan Amy Search di Indonesia turut mengakui bahawa dia tidak menyangka mendapat kepercayaan daripada Siti Nurhaliza untuk turut serta dalam jelajah bergeraknya di negara seberang itu.

"Seronoknya mengadakan persembahan dengan Kak Siti, dia tidak pernah lupa untuk memperkenalkan saya kepada pihak media di sana.

"Nama Siti Nurhaliza cukup besar di sana dan dia mempunyai aura tersendiri," ceritanya yang mengadakan persembahan di tiga lokasi iaitu Ancol, Jakarta Utara (10 Disember), di Lapangan Bola BatraiP, Pekan Baru (12 Disember) dan pada 14 Disember di Stadium Lambung Mangkurat, Banjarmasin.

Konsert solo pertama

Tahun 2012 yang tiba penghujungnya tidak lama lagi juga menyaksikan aktiviti seni Shila Amzah yang tak putus-putus. Ini kerana sebaik pulang dari Miami, Florida, dia akan mengadakan konsert sempena Gala Amal PAMOGA-Gaza yang bakal berlangsung di ibukota pada 29 Disember ini.

Konsert selama satu jam setengah itu akan diadakan bagi mengutip dana untuk lima rumah anak yatim di Ipoh, Perak selain bantuan untuk rakyat Palestin.

"Terima kasih pada Datuk Dr. Hasmiza Othman atau Datuk Vida kerana memilih saya untuk menjayakan persembahan amal ini. Sebenarnya sudah lama saya idamkan untuk buat showcase untuk peminat.

"Alhamdulillah... saya dapat peluang yang lebih besar," ujarnya yang terpilih untuk menjayakan konsert tersebut kerana penampilan yang menepati moto pihak penganjur.

Konsert Shila itu akan dipimpin oleh Datuk Ramli M.S dan dia bakal menghiburkan penonton dengan lagu-lagu popularnya.

Sementara itu, menurut pengasas Vida Beauty Sdn. Bhd., Datuk Dr. Hasmiza Othman, perjuangan Shila sebagai artis yang menapak dari kosong hingga berada di tahap sekarang, sama dengan perjalanan syarikatnya.

"Saya mula mengintai penyanyi untuk konsert ini sejak Februari lalu tapi tidak bertemu. Sebaik sahaja Shila balik dari Shanghai, saya terus melamarnya dan Alhamdulillah kami capai persetujuan," katanya.

Bagi yang berminat untuk menonton sambil menderma dan menikmati makan malam boleh membuat tempahan meja (untuk korporat) dan individu di talian 013-3935805 (Nurin), 013-5808830 (Suraya) dan 013-2895808 (Zamri).

Sebaik selesai persembahan konsert amal itu nanti, Shila akan terus berangkat ke China untuk mengadakan persembahan sempena sambutan tahun baru di sana.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Hiburan/20121221/hi_01/Tahun-Shila#ixzz2Fjw1bVjb

No comments:

Sila klik