Sunday, December 16, 2012

Program Asyura Hijaratul Rasul 1434 dan sambutan Meraikan Tiga Piala

22 kawah bubur meriahkan Program Asyura, sambutan Meraikan Tiga Piala
JAMILAH HAMZAH
16 Disember 2012


Rakyat Kelantan yang tinggal di Selangor bergotong-royong menyediakan bubur asyura. - Foto Sinar Harian oleh Khiru Shaleh Abdullah



Warga kerja Sinar Harian turut membantu menyediakan bahan-bahan bubur asyura.



Presiden Perakan Malaysia Ir Hamdzah Abdul Rahman



Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub (dua kanan) bersama bekas Adun Perupok, Datuk Omar Mohammed (dua kiri) mengacau bubur asyura.



SHAH ALAM - Sebanyak 22 kawah bubur asyura disediakan untuk dinikmati lebih 3,000 penduduk sekitar Shah Alam sempena Program Asyura Hijaratul Rasul 1434 dan sambutan Meraikan Tiga Piala yang dimenangi oleh Kelantan musim ini.

Presiden Perakan Malaysia, Ir Hamdzah Abdul Rahman berkata, penduduk sekitar Shah Alam khususnya anak Kelantan yang berada di perantauan dijemput menikmati juadah tradisi ini, di samping mengeratkan hubungan silaturrahim.

Menurutnya, program ini turut memberi peluang kepada masyarakat luar merasai kelainan bubur asyura yang dimasak oleh rakyat Kelantan.

Beliau berkata, bagi menjayakan program ini wakil penduduk di kesemua bahagian Parlimen dan daerah di Kelantan terlibat sama.

"Majlis seumpama ini sering juga kita buat, tapi di peringkat lokal bagi tujuan yang sama.

"Kita bersama bergotong-royong memasak bubur asyura ini dengan resepi asli dari Kelantan, sebanyak 22 kawah kita masak pada hari ini.

"Jadi kita jemput semua yang ingin merasa juadah ini datang dan kita anggarkan 3,000 orang yang dapat menikmati bubur ini," katanya kepada Sinar Harian Online.

Program Asyura Hijaratul Rasul 1434 dan Meraikan Tiga Piala anjuran Kerajaan Negeri Kelantan bersama NGO Anak Kelantan di Perantauan sedang berlangsung di Kompleks Media Karangkraf di Seksyen 15 di sini, akan turut dihadiri oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat kira-kira jam 2 petang ini.

Mengulas lanjut Hamdzah berkata, program ini juga bertujuan meraikan kemenangan pasukan The Red Warriors yang menjuarai tiga piala dalam Liga Malaysia iaitu Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Liga Super.

Sementara itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perupok, Datuk Omar Mohammed berkata penganjuran program seperti ini baik untuk mengeratkan tali persaudaraan antara masyarakat Kelantan.

"Terima kasih kepada yang terlibat bagi menjayakan program ini termasuk Karangkraf yang sedia memberi tempat untuk kami.

"Memang baik, kami boleh dapat jumpa secara empat mata dan mengenali antara satu sama lain," katanya.

sumber : Sinar Harian Online

No comments:

Sila klik