Saturday, August 6, 2011

Mazda2: Kereta Dunia

REKAAN Mazda2 yang segar membuatkannya mudah diminati oleh pengguna kenderaan daripada segenap usia.

BEBERAPA tahun lalu, saya dan beberapa orang rakan pernah menghadiri prebiu program di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Kata Profesor Kanan semasa program itu, kami tidak terlalu percaya dengan promosi besar-besaran. Jika program yang ditawarkan bagus, maka dengan sendirinya pelajar akan datang mencari.
Ayat yang lebih kurang sama saya dengar sekali lagi. Kali ini daripada Wan, seorang rakan yang menjual kereta Mazda. Menurutnya, Mazda jarang mempromosikan produknya dalam media kerana bosnya percaya bahawa produk yang baik akan dicari orang.

Apa yang dikatakan oleh mereka berdua ada benarnya. Mazda berada dalam kelasnya tersendiri. Produknya menyerlah andai dibandingkan dengan pengeluar kereta Jepun yang lain.
Bukti paling nyata ialah apabila Mazda2 memenangi Kereta Dunia 2008 (World Car of the Year). Anugerah itu nyata membuka mata saya terhadap kereta bandar ini dan Mazda secara amnya.
Falsafah Zoom-Zoom
Mazda membawa falsafah Zoom-Zoom yang bermakna perkara serius dijadikan perkara yang menyeronokkan. Caranya adalah dengan menyuntik elemen sporty dalam barisan kenderaan keluarannya.
Beberapa minggu lalu, saya memandu Mazda CX7, sebuah SUV ala Honda CR-V. Perkara yang menarik perhatian saya ialah rekaan sterengnya yang lari daripada kebiasaan, seperti kereta lumba 60-an.
Bayangkan sebuah SUV berharga lebih RM170,000 mempunyai rekaan tersebut. Anda tidak akan menjumpainya pada mana-mana pengeluar kereta Jepun. Selain itu, rekaan kenderaan Mazda juga sangat berbeza. Tubuhnya penuh dengan laluan-laluan angin dan lekuk-lekuk.
Impresi pertama


BUTANG-BUTANG kawalan yang ada pada papan pemuka Mazda2 dikoordinasi dengan baik.



Baru-baru ini, saya berpeluang memandu uji Mazda2 R Grade. Pandu uji itu bagaimanapun agak singkat, tidak sampai 10 kilometer (km) pun. Tujuannya adalah untuk menjamah sedikit’ produk terkini Mazda selepas kali terakhir memandu Mazda Fighter kira-kira sembilan tahun lepas.
Impresi pertama apabila masuk ke dalam Mazda2 ialah postur kerusi yang kena dengan badan saya yang agak tinggi. Sementara butang-butang kawalan pada papan pemuka mudah dicapai. Pandangan ke hadapan agak selesa. Sterengnya tidak kasar dan sedap dipegang.
Sesudah kereta bergerak, perkara pertama yang diuji ialah daya pecutannya. Sebaik sahaja pedal ditekan kuat, ternyata kereta itu ada kuasa, tidak lembap dan lebih kurang sama dengan Honda Jazz GD. Maksudnya, Mazda2 tiada masalah untuk memotong kereta hadapan yang dipandu oleh mereka yang suka bersiar-siar dan membiarkan kereta di belakang beratur panjang.
Stereng berat
Ujian seterusnya adalah aspek pemanduan dan pengendalian. Perkara pertama yang saya perasan, stereng dengan teknologi Electronic Power Assist Steering (EPAS) itu sedikit berat. Ciri itu bagus kerana stereng yang terlampau ringan dan tidak offset sewaktu kelajuan tinggi akan menyebabkan kereta berasa terapung-apung, sekali gus tidak memberi keyakinan kepada pemandu.
Situasi begitu berbahaya kerana pemandu tidak memegang kemas stereng sewaktu memandu laju dan akan sibuk membetulkan stereng. Seterusnya mengganggu konsentrasi pemanduan.
Tamat laluan lurus, saya membelok kereta itu untuk mengujinya pula pada selekoh. Pedal minyak sengaja ditekan untuk melihat sejauh mana Mazda2 dapat mengekalkan kestabilannya.
Pada kelajuan sederhana, olengan tubuh Mazda2 tidak terlampau teruk. Kereta masih lagi stabil mengikut garisan selekoh yang dipilih.

TUIL gear diletakkan di bahagian konsol tengah bagi memaksimumkan ruang antara dua tempat duduk hadapan.


Sebagai pemandu, anda harus cerewet dalam hal ini kerana kereta yang pengendaliannya gagal adalah merbahaya. Sebabnya, pemandu mungkin terkejut apabila arah kereta tidak selari dengan putaran stereng.
Selepas ujian selekoh, satu lagi perkara yang saya gemari ialah melalui jalan berlopak. Kereta yang bagus mempunyai casis tegar dan mampu menyerap hentakan dengan selesa. Kereta yang terhentak kuat dan tidak ‘settle’ ketika melalui jalan tidak rata boleh dianggap sebagai mempunyai struktur casis yang biasa-biasa sahaja.
Paling dahsyat apabila kereta bergegar apabila melanggar lopak atau lubang. Untuk Mazda2 yang kualiti pengendalian dan tahap gegarannya lulus, lopak yang dilalui diserap dengan baik.
Pesaing berbahaya
Ini kereta paling ideal untuk kegunaan bandar. Ia juga sesuai untuk pemanduan jarak jauh kerana keselesaan yang ditawarkannya biarpun bersaiz kompak, dengan syarat anda tidak membawa beban yang banyak.
Kini Mazda2 mempunyai pesaing yang paling berbahaya iaitu Ford Fiesta. Fiesta berkongsi platform yang sama, tetapi mewah dari aspek spesifikasinya dan lebih murah.
Walau bagaimanapun, jika dinilai dari segi rekaan, saya memilih Mazda2. Kereta itu tidak memerlukan rekaan yang terlampau menonjol untuk memberitahu kepada dunia bahawa ia adalah cantik. Rekaannya tenang dan bersahaja dengan wajah yang sentiasa senyum. Inilah semangat Zoom-Zoom!

sumber: KOSMO! Online

No comments:

Sila klik