Berubah biar ikhlas
Oleh Muhamad Fairoz Azizan
muhamadfairoz@bharian.com.my
2011/08/19
BERSAMA anak yatim.
LIYANA (kanan) di samping ibu dan adik-beradiknya.Liyana ingin tampil bertudung selepas berumah tangga
TAMPAK manis sekali apabila pelakon Liyana Jasmay tampil bertudung walaupun imej berkenaan dikenakan olehnya hanya pada Ramadan. Jauh sekali berbeza dengan penampilan biasanya, yang lebih bersifat moden dan remaja.
Begitupun, sebenarnya terdetik di hati gadis kecil molek ini untuk terus kekal bertudung apabila tiba waktunya.
Buat masa sekarang saya cuti berlakon sebab saya ingin tumpukan perhatian kepada kolej. Saya akan mengarahkan teeater buat kali pertama, yang pastinya agak kekok. Maklumlah, ia cukup berbeza denagn dunia filem. - Liyana Jasmay, Pelakon.Baginya, biarlah keinginan untuk mengenakan tudung itu lahir daripada keikhlasan jiwa, bukan kerana dipaksa. Dia sendiri tidak menolak kemungkinan, suatu hari nanti, pasti dirinya tampil bertudung litup seperti ramai wanita lain dan gadis sebayanya. Pokok pangkal, pelakon yang senang membahasakan dirinya Nana ini mahu melakukannya apabila dia sudah benar-benar bersedia.
Melihat ramai artis wanita kini yang sudah mula bertudung, Nana tidak menolak suatu hari nanti dirinya juga turut berubah. Bukan mengikut jejak artis yang terlebih dulu mengenakan imej berkenaan, tetapi dia menganggap, setiap artis akan tiba masanya untuk dilihat dari sudut yang berbeza.
“Insya-Allah mungkin lepas kahwin saya akan mengenakan tudung, itupun bukan kerana terpaksa atau nak ikut orang. Saya akan memakai tudung apabila saya rasa sudah sampai masanya untuk berbuat demikian.
“Kalau kita tengok sekarang ini, banyak sekali fesyen tudung yang diperkenalkan yang masih membolehkan kita kelihatan anggun menawan, jadi bukan menjadi satu halangan untuk kita artis tampil dengan imej bertudung,” katanya.
Beberapa kali juga tampil dengan imej bertudung di dalam filem, Nana pada hakikatnya tidak kekok dalam pemakaian tudung, malah dia mengaku selesa dengan penampilan berkenaan.
Katanya lagi, bertudung juga bukan halangan bagi seseorang artis untuk aktif berlakon, sebaliknya semua itu bergantung kepada bakat.
“Kalau bakat lakonan bagus, pakai tudung pun tetap ditawarkan berlakon. Jangan jadikan imej bertudung sebagai satu halangan kerana ramai artis yang bertudung kini masih kencang ditawarkan peluang berlakon.
“Malah kalau kita tengok drama atau filem hari ini pun, ia banyak menampilkan artis bertudung. Kalau saya bertudung pun suatu hari nanti, saya akan tetap berlakon,” jelasnya.
Tumpuan pada pelajaran
BERSESUAIAN dengan aktiviti seninya yang berkurangan pada bulan puasa, Nana mengambil kesempatan itu untuk memberikan lebih tumpuan kepada pengajiannya, yang dijangkakan tamat hujung tahun ini.
Pelajar jurusan Seni Persembahan dan Media di sebuah kolej swasta di Sunway ini kini sibuk menyiapkan projek akhirnya dalam pengarahan teater berjudul Muka, yang akan dipentaskan pada 10 hingga 16 Oktober depan.
“Buat masa sekarang saya cuti berlakon sebab saya ingin tumpukan perhatian pada kolej. Saya akan mengarahkan teater buat kali pertama, yang pastinya agak kekok. Maklumlah, ia cukup berbeza dengan dunia filem.
"Kesukaran lebih dirasakan apabila teater yang saya arahkan nanti adalah dalam bahasa Melayu, sedangkan pelajar kolej pula terdiri daripada pelbagai bangsa termasuk pelajar antarabangsa. Jadi, agak sukar untuk membuatkan mereka faham apa yang dipersembahkan," katanya yang turut terbabit dalam filem pendek, tetapi hanya sebagai kru di belakang tabir, bekerjasama dengan pelajar lain.
Beraya di Australia
KESIBUKANNYA menyiapkan tugasan akhir itu turut memaksa Nana, 23, banyak menghabiskan masa di kolej dan jarang dapat berbuka puasa bersama keluarga.
Justeru, peluang berbuka puasa bersama keluarga dan teman rapat di samping meraikan 30 kanak-kanak dari Rumah Amal Belaian Kasih (RABEKA), Taman Ukay Perdana, baru-baru ini dirasakan cukup bermakna buat dirinya.
“Kebiasaannya saya akan berbuka di kolej bersama rakan-rakan sebab nak kejar masa untuk projek. Baru-baru ini saya dimasukkan ke hospital sebab keracunan makanan gara-gara makan di luar.
“Saya suka makan makanan laut, tetapi hari itu saya makan ketam menyebabkan saya terpaksa bangun jam 3 pagi sebab sakit perut dan muntah-muntah,” katanya.
Menyambut lebaran bersama keluarga pula tentunya saat yang ditunggu Nana kerana bukan saja dia dapat berkumpul semula bersama anggota keluarga, malah lebih manis lagi apabila sambutan raya kali ini dilakukan mereka di Sydney, Australia.
Nana mengharapkan percutian selama 10 hari di bumi kanggaru itu akan lebih mengeratkan lagi jalinan silaturahim mereka sekeluarga.
“Inilah kali pertama kami sekeluarga dapat bercuti bersama ke luar negara. Lagipun, kami sebenarnya sudah lama merancang nak beraya di luar negara, tetapi tak jadi. Tahun lalu, contohnya, kakak saya pula bersalin.
“Tahun ini, anak saudara pun semua sudah besar jadi bolehlah kami semua pergi bercuti. Petang raya pertama kami bertolak ke sana dan rancang nak bawa rendang sekali,” katanya sambil ketawa kecil.
sumber: Berita Harian Online
No comments:
Post a Comment