Saturday, May 31, 2014

Andainya Tunku masih hidup, dia akan sumpah semua orang, kata Ku Li

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berasa almarhum Tunku Abdul Rahman mesti terkejut dengan keadaan negara kini. – Gambar fail.

OLEH LOOI-SUE-CHERN
MAY 30, 2014
LATEST UPDATE: MAY 30, 2014 09:42 PM

Andainya Perdana Menteri pertama Malaysia Tunku Abdul Rahman Putra masih hidup, dia akan menyumpah semua orang ekoran apa yang berlaku sekarang, kata Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Veteran Umno yang rapat dengan Bapa Kemerdekaan itu berkata, Tunku tentu terkejut dengan apa yang berlaku di negara ini sekarang.

"Dia akan sumpah semua orang ekoran apa yang mereka katakan kerana ia bertentangan dengan apa yang diyakininya.


"Apa yang berlaku benar-benar bertentangan dengan apa yang dia usahakan. Dia mahukan keamanan.

"Dia adalah orang cintakan kedamaian dan dia suka orang yang membantu antara satu sama lain tanpa mengira bangsa, agama atau latar belakang budaya. Itulah Tunku," kata Razaleigh, yang lebih dikenali sebagai Ku Li, kepada wartawan di Pulau Pinang hari ini. –

Walaupun perjuangan Tunku sering dicabar Umno sendiri, Razaleigh berkata Tunku dan pengkritiknya adalah dari zaman yang berlainan.

“Kemungkinan mereka dibesarkan dalam keadaan berlainan.

“Bagi sesetengah orang, mereka mempunyai masalah harga diri dan menggunakan ia untuk mengambil kesempatan,” katanya.

Tunku dikritik oleh ahli Umno sendiri, termasuk penggantinya Tun Abdul Razak, terutama semasa Singapura ditendang keluar pada 1965 dan trajedi 13 Mei 1969.

Beliau dipaksa melepaskan jawatannya sebagai perdana menteri pada 22 September, 1970 dan kehilangan jawatan Presiden Umno setahun kemudian, ekoran tentangan oleh pemimpin muda, termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad.

Razaleigh mengaitkan situasi negara kini dengan pucuk kepimpinan yang lemah.

“Banyak orang memberitahu saya... Ia menyebabkan ketiadaan rasa hormat terhadap pihak berkuasa.

“Ada keputusan kurang popular yang wajar dibuat, kita kena tegas.

“Terdapat kebebasan bercakap tetapi ada hadnya. Kena guna akal.

“Jika orang ramai dibenarkan berputar belit, bebas bercakap apapun, rosaklah negara,” katanya.

Razaleigh mempersoalkan kepimpinan yang gagal mengawal keadaan dan adalah kurang bijak kerana tidak dapat melihat ancaman kepada masyarakat.

“Kenapa orang ramai mempersoalkan kepimpinan? Kerana mereka tidak puas atau tidak selesa dengan keadaan sekarang.

“Saya bangkitkan perkara ini akibat mendengar pelbagai rungutan yang tidak memanfaatkan masyarakat negara ini,” katanya. 

sumber : The Malaysian Insider – 30 Mei, 2014.

No comments:

Sila klik