Oleh SHAWKATH AZDE
TAHUN 1993 menyaksikan pembentukan satu kategori baharu untuk rangkaian model Mercedes-Benz. Dinamakan sebagai C-Class, ia merangkumi model-model kereta kompak eksekutif daripada pengeluar Jerman itu. Kelahiran segmen tersebut bertujuan menggantikan siri rangkaian sedan 190 Mercedes-Benz.
Model C-Class merupakan kereta paling murah pernah ditawarkan oleh Mercedes-Benz. Itu pun sebelum ketibaan model A-Class pada tahun 1997.
Model C-Class dilihat memiliki rekaan sporty dan bercirikan bulat jika dibandingkan dengan produk lain keluaran Mercedes-Benz. Sedan pertama C-Class mula dikeluarkan pada 1 Jun 1993, sebelum diikuti oleh generasi kedua dan ketiga pada tahun 2000 dan 2007.
8.5 juta C-Class dijual
Segmen baharu tersebut bagaimanapun tidak melupakan perjuangan yang dipikul oleh model 190 sebelum ini. Apa lagi kalau bukan menjadi saingan kepada BMW 3 Series.
C-Class nyata tidak mengambil masa lama untuk popular. Sepanjang tahun 2007 sahaja, C-Class sudah menerima tiga anugerah iaitu Car of the Year di Australia oleh majalah Wheels, Executive Car Of The Year (majalah Top Gear) dan Japan’s Import Car of the Year tahun 2007-2008. Kunci kejayaannya berkait rapat dengan aspek harganya yang lebih mampu milik.
Sejak C-Class diperkenalkan pada 1982 (ketika itu dikenali dengan model 190), Mercedes-Benz merekodkan jualan sebanyak 8.5 juta unit seluruh dunia. Bermula tahun 2008 pula, Mercedes-Benz menjadi peneraju global dalam segmen tersebut.
DARI KIRI: Schlickum, Folger dan Yee pada satu sesi pengenalan dan pandu uji model baharu Mercedes-Benz C200 dan C250 baru-baru ini.
Senario hangat itu turut dirasai dalam pasaran tempatan. Baru-baru ini, Mercedes-Benz Malaysia Sdn. Bhd. (MBM) mengumumkan prestasi jualan separuh tahun pertama 2011. Rekod baru dicipta. Sebanyak 3,900 unit kenderaan penumpang dan komersialnya berjaya dijual. Peningkatan sebanyak 22.6 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Penalaan berbeza
Demi mengekalkan momentum jualan tersebut, Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Mercedes-Benz Car, MBM, Kai Schlickum mengumumkan pengenalan dua varian wajah baharu C-Class iaitu C200 BlueEFFICIENCY dan C250 BlueEFFICIENCY.
“Ini merupakan rangkaian model naik taraf paling komprehensif pernah dilakukan dalam sejarah Mercedes-Benz. Kami juga belum pernah berbelanja sebegini besar untuk menaik taraf mana-mana model,” katanya pada satu sidang akhbar yang turut dihadiri Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MBM, Roland S. Folger dan Pengurus Besar Jualan Kenderaan Komersial MBM, Albert Yee.
Rangkaian model itu dilengkapi dengan 2,000 komponen baharu yang membezakannya dengan model terdahulu. Bukan suatu perubahan kecil. Jelas ia memaparkan ketelitian dan kesungguhan pemain automotif Jerman ini.
Kedua-dua model tersebut dipasang dengan enjin empat silinder suntikan terus bersesaran 1,796cc. Kotak gear transmisi automatik tujuh kelajuan 7G-TRONIC dipadankan dengan enjin berkenaan. Meskipun memiliki nadi yang sama, talaan kedua-dua model adalah berbeza.
Model C200 mengambil masa 7.8 saat untuk pecutan 0 kilometer (km) hingga 100km. Kuasa kudanya ialah 184 pada 5,250rpm. Kelajuan maksimum mampu dicapai ialah 235 kilometer sejam (km/j).
KEANGGUNAN dan kemewahan binaan dalam model C-Class baru Mercedes-Benz.
Bagi varian C250 pula, ia mengambil masa 7.2 saat untuk 0km -100 km. Kuasa kuda pula sebanyak 204 pada 5,500 rpm. Kelajuan maksimum ialah 240km/j. Kedua-dua jentera itu memiliki tahap penggunaan bahan bakar yang sama iaitu 6.4 liter hingga 6.9 liter bagi setiap 100km. Malah, anda harus tahu bahawa varian C-Class terbaru itu memberi penjimatan petrol sehingga 31 peratus.
Jika dibandingkan dengan generasi sebelumnya, perbezaan ketara boleh dilihat pada bahagian hadapan kereta. Kedua-dua model itu dipasang dengan bonet, front wing dan modul pintu aluminium yang baharu. Berat jentera turut dikurangkan dan kecekapan penggunaan petrol ditingkatkan.
Varian tersebut turut memiliki bampar dengan lampu LED, lampu depan bi-xeon dan gril radiator baharu. Kombinasi semua elemen itu menjadikannya memiliki profail huruf V. Bahagian belakang juga menerima sentuhan penambahbaikan. Antaranya ialah bampar baru dan padanan lampu belakang LED. Generasi C-Class nyata semakin maskular dan mantap.
Melangkah masuk ke dalam C-Class, kelainan dapat dilihat pada papan pemukanya. Ia menggabungkan elemen anggun dan sporty. Butang kawalan turut dikemaskan.
Stereng yang dilengkapi 12 butang kawalan dibalut dengan material kulit. Versi Elegance C-Class memiliki stereng empat jejari, manakala stereng versi Avantgarde pula tiga jejari. Terdapat juga sebuah skrin LCD yang ditempatkan dalam ruangan sama dengan panel instrumen.
Jaminan tiga tahun
ANDA boleh melayari Internet di dalam kabin C250.
Tidak memandang ringan aspek keselamatan, Mercedes-Benz mengetengahkan sebanyak sepuluh sistem bantuan pemanduan. Antaranya, Adaptive Highbeam Assist yang menurunkan suluhan cahaya lampu depan ke paras dan jarak wajar apabila mengesan kenderaan di hadapannya.
Attention Assist pula akan memberi amaran apabila mengesan pemandunya dalam keletihan. Ia membantu mengelakkan pemandu daripada terlibat dalam kemalangan. Satu lagi ialah sistem Parktronic yang mengukur keluasan kawasan untuk memudahkan pemandu meletakkan kenderaannya.
Model C200 BlueEFFICIENCY dan C250 BlueEFFICIENCY merupakan jentera komponen unit terurai (CKD) yang dipasang di kilang MBM di Pekan, Pahang.
C200 BlueEFFICIENCY ditawarkan pada harga RM258,888 seunit, manakala C250 BlueEFFICIENCY boleh anda miliki pada takat harga RM290,888 seunit. Tempoh jaminan diberikan ialah selama tiga tahun.
sumber: KOSMO Online
No comments:
Post a Comment