Sunday, July 31, 2011

Imbuhan untuk pahlawan negara



SEBAHAGIAN anggota tentera dan polis bergambar bersama selepas Perbarisan Tamat Latihan Perdana di Port Dickson semalam.


PORT DICKSON – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengumumkan imbuhan kepada penerima Pingat Tentera Udara (PTU) dan Jasa Perkasa Persekutuan (JPP).
Menurut beliau, bagi penerima PTU dan JPP, masing-masing akan menerima wang tunai sebanyak RM1,000 sebulan.
“Bagi penerima PTU dan JPP yang telah meninggal dunia pula, keluarga masing-masing akan menerima imbuhan sebanyak RM10,000 yang diberi sekali gus,” katanya ketika berucap pada majlis perbarisan tamat latihan perdana Angkatan Tentera Malaysia-Polis Diraja Malaysia (ATM-PDRM) Siri 1/2011 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat di sini semalam.
Pada majlis yang sama, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika ditemui berkata, mereka yang menerima Pingat Gagah Berani (PGB) akan mendapat RM1,500 sebulan, manakala Seri Perkasa (SP) RM2,000 sebulan.
“Dua minggu lepas, Kabinet setuju untuk memberi imbuhan kepada penerima anugerah PTU dan JPP.
“Pemberian imbuhan ini adalah komitmen kerajaan Malaysia terhadap mereka yang mempertahankan negara,” katanya sambil menambah, ia berita baik sempena Hari Pahlawan yang disambut hari ini.
Mengulas tentang latihan perdana ATM-PDRM, beliau berkata, latihan di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu akan diteruskan pada tahun depan.
“Kita akan kaji dan menilai semula latihan ini sebelum menambah baik pada masa akan datang. Latihan di bawah NBOS ini akan diteruskan pada tahun depan,” katanya.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyifatkan latihan perdana itu sebagai kejayaan kerajaan dalam memantapkan dua organisasi pasukan keselamatan negara.
“Ini adalah kejayaan buat kerajaan dalam mempertingkatkan kerjasama antara ATM dan PDRM, sekali gus menjimatkan kos kerajaan sebanyak RM639 juta bagi tempoh lima tahun daripada membina pusat latihan baharu untuk polis,” ujarnya.
Pada majlis itu, seramai 984 orang konstabel polis dan 2,107 perajurit termasuk 194 anggota wanita di bawah NBOS terlibat dalam perbarisan tamat latihan.
Sementara itu, mereka yang mengikuti latihan berkenaan menerima anugerah pelatih terbaik masing-masing sempena majlis tersebut.
Mereka ialah Perajurit Muda Keseluruhan Terbaik, Mohd. Nur Amirul Muntil, 20; Perajurit Muda Wanita Keseluruhan Terbaik, Mas Erma Md. Sharif, 21, dan Pelatih Konstabel Keseluruhan Terbaik Md. Kairul Razee Ramli, 25.
sumber: Kosmo Online

No comments:

Sila klik