Wednesday, August 7, 2013

Sambut raya sebagai ibadah


Menyambut Hari Raya Dengan Takbir

Umat Islam digalakkan menyambut hari raya "Aidilfitri dan "Aidiladha" dengan takbir dan tahmid sebagai bersyukur pada hari baik - bulan baik itu.

Ini diterangkan di dalam al-Qur'an (1) dan juga di dalam hadith yang berikut:

70- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ زَيِّنُوا أَعْيَادَكُمْ بِالتَّكْبِيرِ. (رواه الطبراني)

70- Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w., sabdanya: "Hiasilah hari-hari raya kamu dengan takbir. "(2)

(Riwayat Tabrani)

______________________________

1. Ayat 185, Surah al-Baqarah, yang telah disebutkan pada bahagian yang lalu.

2. Nail al-Autar (3:305). Hadith ini juga diriwayatkan oleh Tabrani dan lain-lainnya dari Anas r.a. Ittihaf Ahl al-Islam (228).


Diterangkan lagi dalam hadith yang berikut:
71- عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ زَيِّنُوا الْعِيدَيْنِ بِالتَّهْلِيلِ وَالتَّكْبِيرِ والتَّحْمِيدِ وَالتَّقْدِيسِ. (رواه أبو نعيم)

71- Dari Anas r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w., sabdanya: "Hiasilah kedua-dua hari raya (Aidilfitri dan Aidiladha) dengan tahlil, takbir, tahmid dan taqdis."(1)

(Riwayat Abu Nu'aim)

Menurut huraian ulama' rahimahullah (2), takbir hari raya - Aidilfitri dan Aidiladha - hukumnya sunat dan lafaznya yang lengkap seperti berikut:


اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ، لاَ إِلَهَ إَلاَّ اللهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ وَللهِ الْحَمْدُ.

اللَّهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا، وَسُبْحَانَ اللَّهِ بُكْرَةً وَأَصِيلاً.

لاَ إِلَهَ إَلاَّ اللهُ، وَلاَ نَعْبُدُ إِلاَّ إِيَّاهُ، مُخْلِصِيْنَ لَهُ الدِّيْنَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُوْنَ.

لاَ إِلَهَ إَلاَّ اللهُ وَحْدَهُ، صَدَقَ وَعْدَهُ، وَنَصَرَ عَبْدَهُ، وَأَعَزَّ جُنْدَهُ، وَهَزَمَ الْأَحْزَابَ وَحْدَهُ، لاَ إِلَهَ إَلاَّ اللهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ وَللهِ الْحَمْدُ.

Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, tiada Tuhan melainkan Allah dan Allah jualah yang Maha Besar, Allah Maha Besar dan bagi Allah jualah segala pujian.

Allah Maha Besar dengan segala kebesaran-Nya, segala puji tertentu bagi Allah tidak terhingga banyaknya, Maha Suci Allah pada tiap-tiap pagi dan petangnya.

Tiada Tuhan melainkan Allah dan kami tidak menyembah melainkan Dia semata-mata dengan mengikhlaskan ibadat kepadanya walaupun dibenci oleh orang-orang kafir.

Tiada Tuhan melainkan Allah Maha Esa, amatlah benar dan tepat janji-Nya, ia telah memenangkan hambanya (Nabi Muhammad s.a.w. ), ia juga telah menguatkan tentera-Nya dan Dialah jua yang telah mengalahkan musuh-musuh Islam yang bergabung dan berbagai-bagai golongan, tiada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar, Allah Maha Besar dan bagi Allah segala pujian.

______________________________

1. Kitab yang sama (228). "Taqdis": Yakni mensucikan Allah Taala daripada segala sifat kekurangan. Misalnya dengan menyebut: "سُبْحَانَ الْمَلِكِ الْقُدُّوْسِ"

2. Seperti yang disebutkan dalam kitab "Mughni al-Muhtaj" (1:315) dan lain-lainnya.



Takbir Hari Raya

Menurut huraian ulama' rahimahullah Taala(1), takbir hari raya terbahagi dua.

Pertama: Takbir dalam sembahyang dan khutbah (akan diterangkan pada tempatnya).

Kedua: Takbir yang lain dari itu, yang juga terbahagi dua, iaitu "Takbir Mursal" dan "Takbir Muqayyad".

______________________________

1. Raudhat al-Talibin (2:79) dan Mughni Al-Muhtaj (1:314).



Takbir Mursal

Takbir Mursal, yang juga dinamakan "Takbir Mutlak" iaitu takbir yang tidak terikat dengan sesuatu hal dan sesuatu masa yang tertentu, malah ia boleh dilakukan - malam dan siang - di rumah, di masjid dan di sepanjang jalan terutama semasa hendak pergi ke tempat sembahyang atau ke masjid untuk mengerjakan sembahyang hari raya - Aidilfitri dan Aidiladha. (1)

Masa melakukan "Takbir Mursal" ialah mulai dari malam hari raya Aidilfitri dan berakhir dengan masa bermulanya sembahyang hari raya pada hari esoknya. Bagi hari raya Aidiladha pula, masa melakukan "Takbir Mursal" itu ialah mulai dari malam hari raya (2)dan berakhir pada hari yang ketiga dari "Hari-hari Tasyriq" (13 Zulhijah).

______________________________

1. Menurut sebuah hadith (riwayat Nafi' dari Abdullah), bahawa Rasulullah s.a.w. biasanya keluar pada pagi kedua-dua hari raya bersama-sama sahabat-sahabat baginda sambil bertakbir beramal-ramal sepanjang perjalanan sehingga sampai ke tempat sembahyang.

Di antara sahabat-sahabat Baginda yang turut serta (pada hari itu) ialah Saiyidina Ali, Abdullah bin Abbas, Zaid bin Harithah dan kedua-dua cucu Baginda - Saiyidina Hasan dan Husain r.a. (Al-Majmu', 5:36).

2. Kecuali orang yang sedang mengerjakan ibadat haji di tanah suci Mekah, maka ia tidak disunatkan bertakbir pada malam hari raya haji, malah ia sunat meneruskan "bertalbiyah" dengan menyebut: "لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ ..".
Takbir Muqaiyyad

"Takbir muqaiyyad" ialah takbir yang terikat dengan sesuatu hal yang tertentu iaitu sembahyang. Sebab itu masa melakukannya ialah selepas mengerjakan sembahyang - sama ada sembahyang fardhu atau sembahyang sunat, mulai selepas mengerjakan sembahyang Zuhur (10 Zulhijah) dan berakhir selepas mengerjakan sembahyang Asar pada hari yang ketiga dari "Hari-hari tasyriq" (13 Zulhijah).

Lain halnya orang-orang yang sedang mengerjakan haji dan sedang berhimpun di "Mina" maka mereka disunatkan bertakbir (dengan Takbir Muqaiyyad) mulai selepas mengerjakan sembahyang Zuhur pada hari raya Aidiladha dan berakhir selepas mengerjakan sembahyang Subuh pada hari yang ketiga dari "Hari-hari Tasyriq".



Sembahyang Hari Raya Aidilfitri

Menurut huraian ulama' rahimahullah Taala, sembahyang hari raya yang mula-mula dikerjakan oleh Rasulullah s.a.w. ialah: "Sembahyang hari raya Aidilfitri" pada tahun kedua hijriyah dan Baginda telah berkekalan mengerjakannya hingga akhir hayatnya.

Hukumnya: Sunat muakkad - atas tiap-tiap seorang Islam yang baligh berakal. Bilangan rakaatnya : Dua rakaat.

Rukun-rukun dan sunatnya serta syaratnya: Sama seperti yang ditentukan bagi sembahyang fardhu yang lima, kecuali perkara yang sunat, ada tambahan seperti yang akan diterangkan.

Waktunya: Mulai dan teibit matahari tetapi sunat dita'khirkan hingga matahari naik kira-kira segalah dan berkekalan waktunya hingga gelincir matahari.

Sembahyang hari raya Aidilfitri (dan juga sembahyang Aidiladha) disunatkan mengerjakannya dengan berjamaah, malah Rasulullah s.a.w. telah menggalakkan umat Islam - lelaki dan perempuan, tua muda (termasuk kanak-kanak) supaya keluar beramai-ramai mengerjakannya dengan berjamaah - sebagai menegakkan syiar Islam. (1)

Sebelum itu disunatkan mandi dan memakai pakaian yang elok - serta memakai bau-bauan yang semerbak harum(2), kecuali kaum perempuan.(3)

Disunatkan makan dahulu sebelum pergi mengerjakan sembahyang Aidilfitri. Sebaliknya pada hari raya Aidiladha, disunatkan melambatkan makan sehingga kembali mengerjakan sembahyang.(4)

Semasa pergi dan kembali dari mengerjakan sembahyang, disunatkan melalui jalan yang berlainan, yakni kalau masa pergi melalui sebatang jalan yang tertentu, maka semasa kembali sunat melalui jalan yang lain.(5)

Disunatkan juga melambatkan sedikit sembahyang hari raya Aidilfitri (supaya orang yang belum mengeluarkan zakat fitrah dapat mengeluarkannya sebelum sembahyang). Sebaliknya sunat menyegerakan sedikit sembahyang Aidiladha (untuk memberi masa yang luas kepada orang yang hendak menyembelih korban).(6)

Sidang jamaah disunatkan hadir lebih awal, kecuali Imam, maka ia disunatkan melambatkan kehadirannya, kerana sebaik-baik sahaja ia sampai maka sembahyang akan dimulakan dan ia terus menjadi imam (7) setelah bilal menyerukan: "الصَّلاَة جَامِعَة" Yang bermaksud: Marilah mengerjakan sembahyang dengan berjamaah.(8)

______________________________

1. Boleh juga dikerjakan seorang diri, malah boleh diqadha. Jika orang itu mengerjakannya sebelum gelincir matahari maka sembahyangnya itu dikira: tunai ( أَدَاءً ), Tetapi jika dikerjakan selepas itu maka ia dikira qadha.

2. Berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Al-Hakim dari Al-Hasan bin Ali r.a., (Fiqh al-Sunnah, 1:317).

3. Menurut huraian ulama rahimahullah, kaum perempuan digalakkan turut hadhir mengerjakan sembahyang hari raya di masjid dan tempat-tempat sembahyang dan mereka dikehendaki memakai pakaian yang sederhana dan jangan berhias apalagi memakai bau-bauan, itu pun terhad kepada golongan yang tua-tua yang tidak menarik perhatian kaum lelaki. Tentang golongan yang muda-muda yang cantik parasnya, maka kehadiran mereka adalah makruh.

Dalam ulasannya, Imam Nawawi rahimahullah berkata: Kalau ada orang berkata: Bukankah itu bertentangan dengan kandungan hadith sahih (Riwayat Bukhari dan Muslim dari Ummu `Athiyah r.a., yang menggalakkan kaum perempuan - tua muda - turut berjamaah)? Kami jawab: Menurut sebuah hadith, yang juga diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari `Aisyah (Ummul Mukminin) r.a. katanya: Kalaulah Rasulullah s.a.w. (masih ada dalam kalangan kami sekarang ini dan) menyaksikan apa yang telah dilakukan oleh kaum perempuan (sesudah Baginda wafat), tentulah Baginda akan melarang mereka (daripada turut berjamaah) .."

Tambahan pula, kata Imam Nawawi lagi, perkara-perkara buruk dan sebab-sebab yang menimbulkannya - amat banyak dalam zaman-zaman kita ini berbanding dengan zaman Nabi dahulu. (Al-Majmu', 5:13).

4. Sebagaimana yang diterangkan dalam hadith sahih riwayat Bukhari, Tirmizi dan lain-lainnya. (Fiqh al-Sunnah, 1:317).

5. Seperti yang diterangkan dalam hadith-hadith sahih Bukhari, Muslim dan lain-lainnya. (Kitab yang sama, 1:318).

6. Ini berdasarkan sebuah Hadith Mursal (Al-Majmu', 5:7 dan Ihya' `Ulumuddin, 1:202).

7. Kerana menurut beberapa buah hadith sahih, bahawa sebaik-baik sahaja Rasulullah s.a.w. sampai, maka perkara yang pertama sekali dilakukan oleh Baginda ialah mengerjakan sembahyang hari raya - kemudian Baginda berkhutbah. (Al-Majmu', 5:15).

8. Sembahyang hari raya Aidilfitri dan Aidiladha tidak disunatkan azan dan iqamat untuknya, tetapi memadai bilal menyerukan: " الصَّلاَة جَامِعَة " yang maksudnya: "Marilah mengerjakan sembahyang dengan berjamaah".

Ini berdasarkan sebuah "hadith dhaif mursal" yang diriwayatkan oleh Imam al-Syafi'i rahimahullah Taala. Alasan ini bertambah kuat lagi apabila diqiyaskan kepada sembahyang gerhana matahari yang juga menggunakan kalimah: " الصَّلاَة جَامِعَة " berdasarkan hadith sahih - riwayat Bukhari dan Muslim, (Kitab yang sama, 5:19).



Masalah Sembahyang Raya Di Padang

Masalah ini berpunca daripada beberapa buah hadith Rasulullah s.a.w., di antaranya hadith yang berikut:
72- عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ وَالْأَضْحَى إِلَى الْمُصَلَّى فَأَوَّلُ شَيْءٍ يَبْدَأُ بِهِ الصَّلَاةُ ثُمَّ يَنْصَرِفُ فَيَقُومُ مُقَابِلَ النَّاسِ وَالنَّاسُ جُلُوسٌ عَلَى صُفُوفِهِمْ فَيَعِظُهُمْ وَيُوصِيهِمْ وَيَأْمُرُهُمْ. (رواه البخاري)

72- Dari Abu Sa'id al-Khudri r.a., katanya: "Biasanya Nabi Muhammad s.a.w. keluar ke tanah lapang (1) pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha, maka perkara yang mula-mula dilakukan oleh Baginda ialah mengerjakan sembahyang (sembahyang hari raya), kemudian (setelah selesai sembahyang), Baginda bangun mengadap orang ramai (untuk berkhutbah) sedang mereka tetap duduk dalam saf masing-masing, lalu Baginda menasihati mereka dan berwasiat (supaya mereka sentiasa bertaqwa), serta menyuruh mereka (tetap taat mengerjakan suruhan Allah Taala dan meninggalkan segala larangan-Nya) .. (2)

(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari)

______________________________

1. Tanah lapang atau padang tempat mengerjakan sembahyang hari raya di Madinah terkenal dengan nama "Musalla". Letaknya sejarak seribu hasta dari pintu Masjid Nabi s.a.w. (Fath al-Bari, 3:101).

2. Kitab yang sama (3:101).

Menurut huraian ulama' rahimahullah Taala: Sembahyang hari raya Aidilfitri (dan juga Aidiladha) boleh dikerjakan di tanah lapang dan boleh dikerjakan di masjid. Tetapi kalau di Mekah maka Masjid al-Haram lebih afdhal dengan tiada khilaf lagi.

Sebaliknya kalau di tempat lain, maka ada ulama' yang mengatakan lebih afdhal mengerjakannya di tanah lapang dan ada pula yang mengatakan lebih afdhal mengerjakannya di masjid.

Menurut mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali, sembahyang hari raya hendaklah dikerjakan di tanah lapang, kerana Rasulullah s.a.w. semasa hayatnya telah berkekalan mengerjakannya di tanah lapang - kecuali sekali sahaja Baginda mengerjakannya di masjid disebabkan hujan.

Oleh itu makruh hukumnya jika mengerjakan sembahyang hari raya di masjid dengan ketiadaan uzur, kecuali Masjid al-Haram di Mekah, maka mengerjakannya di situ lebih afdhal.(1)

Menurut mazhab Syafi'i pula: Lebih afdhal mengerjakannya di masjid jika masjid sebuah kampung itu luas dan dapat menampung sidang jama'ahnya, kerana masjid ialah sebuah tempat yang mulia (sebagaimana yang ditegaskan di dalam al-Qur'an dan hadith).

Tentang amalan Rasulullah s.a.w. mengerjakan sembahyang hari raya di tanah lapang di sepanjang hayatnya (demikian juga yang telah dilakukan oleh Khulafa' al-Rasyidin - Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali r.a.) maka itu ada sebabnya dan sebabnya itu ialah masjid Nabi di Madinah tidak dapat menampung sidang jamaahnya yang terlalu ramai.

Hakikat ini makin bertambah jelas apabila diketahui bahawa penduduk Mekah semenjak zaman Nabi dan seterusnya tetap mengerjakan sembahyang hari raya di Masjid al-Haram, kerana masjid itu luas dan dapat menampung sidang jamaahnya, (dan penduduk bandar Mekah pula tidak seramai penduduk Madinah yang menjadi ibu Negara Islam).

Kesimpulan mazhab Syafi'i dalam masalah ini ialah:

Jika masjid sebuah kampung - luas, maka lebih afdhal mengerjakan sembahyang hari raya di situ. Sebaliknya kalau sempit maka makruh hukumnya, kerana dalam keadaan yang demikian, yang afdhal mengerjakannya ialah di tanah lapang - Jika tiada hujan atau halangan yang lain.

Demikian yang dapat difaham dari penjelasan Imam al-Syafi'i rahimahullah, dalam kitabnya: Al-Umm,(2) dan dari huraian lanjut Imam Nawawi, rahimahullah, dalam kitabnya: Al-Majmu'.(3)

______________________________

1. Al-Fiqh ala al-Mazahib al-A'rba`ah (1:351) dan Rahmat al-Ummah fi Ikhtilafal A`immah (63).

2. Al-Umm (1:234).

3. Al-Majmu' (5:8-9).

Cara Mengerjakan Sembahyang Hari Raya Dengan Berjamaah

Sungguhpun sembahyang hari raya Aidilfitri (dan juga Aidiladha) sunat hukumnya, tetapi segala rukun dan syarat serta sunat-sunatnya sama seperti sembahyang fardhu yang lima - kecuali perkara-perkara yang sunat maka ada tambahannya, iaitu bertakbir tujuh kali pada rakaat yang pertama dan lima kali pada rakaat yang kedua(1), disertakan dengan bertasbih di antara tiap-tiap dua takbir. (2)

Cara mengerjakan sembahyang hari raya Aidilfitri seperti berikut:

Sebaik-baik sahaja imam memulakan sembahyang dengan melafazkan Allahu Akbar (Takbiratul Ihram yang disertakan dengan niat) maka selepas itu makmum pula terlebih dahulu sunat melafazkan niat sembahyangnya:
أُصَلِّى سُنَّةَ عِيْدِ الْفِطْرِ رَكْعَتَيْنِ أَدَاءً مَأْمُوْمًا للهِ تَعَالَى.

(Sahajaku sembahyang sunat hari raya Aidilfitri, dua rakaat, tunai, mengikut imam, kerana Allah Taala). (3)

Setelah itu baharu bertakbir dengan "Takbiratul Ihram" dengan menyebut: Allahu Akbar, disertakan dengan niat dalam hati.

Setelah itu sunat membaca: "Doa Iftitah".

Kemudian sunat bertakbir (Allahu Akbar) tujuh kali disertakan dengan mengangkat tangan ke paras telinga. Biarkan imam memulakan takbir yang pertama dahulu kemudian diikut oleh makmum.

Selepas takbir yang pertama - imam dan makmum sunat membaca tasbih dengan perlahan, dengan menyebut:
سُبْحَانَ اللهِ، وَالحَمْدُ ِللهِ، وَلا إِلَهَ إِلاَّ اللهُ، وَاللهُ أَكْبَرُ.

Maha suci Allah, segala pujian tertentu bagi Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah, dan Allah Maha Besar.

Kemudian bertakbir lagi, takbir yang kedua yang diiringi dengan tasbih yang tersebut, dan demikianlah seterusnya hingga takbir yang keenam, semuanya diiringi dengan tasbih, kecuali takbir yang ke tujuh, kerana selepas itu imam akan membaca surah al-Fatihah dan makmum diwajibkan diam mendengar bacaan imamnya.(4)

Setelah imam membaca surah al-Fatihah maka ia akan diam sebentar untuk memberi peluang kepada makmum untuk membaca surah al-Fatihah, kemudian imam membaca surah al-Qur'an yang dipilihnya.(5)

Makmum pula setelah membaca Surah al-Fatihah, maka mereka diwajibkan diam mendengar bacaan imamnya yang sedang membaca surah al-Qur'an yang termaklum. Kemudian meneruskan sembahyang sehingga selesai rakaat yang pertama.

Dalam rakaat kedua, maka perkara yang pertama sekali dilakukan oleh imam dan makmum ialah bertakbir lima kali yang diselangi dengan tasbih seperti yang dilakukan dalam rakaat pertama. Kemudian meneruskan sembahyang sehingga selesai rakaat kedua.

Dengan ini sempurnalah sembahyang hari raya "Aidilfitri" yang akan diiringi dengan khutbah. (6)

______________________________

1. Ini berdasarkan sebuah hadith hasan - riwayat Tirmizi, bahawa Rasulullah s.a.w. telah melakukan takbir yang tersebut.

Takbir itu pula selain daripada Takbiratul Ihram, seperti yang dijelaskan dalam sebuah hadith yang lain - riwayat Abu Daud. (Mughni al-Muhtaj 1:310).

2. Demikian juga halnya sembahyang hari raya Aidiladha.

3. Kalau sembahyang Aidiladha, maka lafaz niatnya seperti berikut:
أُصَلِّى سُنَّةَ عِيْدِ اْلأَضْحَى رَكْعَتَيْنِ أَدَاءً مَأْمُوْمًا للهِ تَعَالَى.

(Sahajaku sembahyang Sunat hari raya Aidiladha, dua rakaat, tunai, mengikut imam, kerana Allah Taala).

4. Dalam sembahyang hari raya Aidilfitri (dan juga Aidiladha), Imam sunat membaca dengan nyaring semasa membaca Surah al-Fatihah dan surah al-Qur'an yang lain.

5. Imam sunat membaca Surah Qaf pada rakaat yang pertama dan Surah al-Qamar pada rakaat kedua.

Atau membaca surah al-A'la pada rakaat pertama dan Surah al-Ghasyiyah pada rakaat kedua, kerana surah-surah yang tersebut biasanya dibaca oleh Rasulullah s.a.w. dalam sembahyang hari raya Aidilfitri dan Aidiladha, sebagaimana yang diterangkan dalam hadith-hadith Baginda. (Sahih Muslim - bi Syarh al-Nawawi, 6:181 dan Al-Majmu' 5:23).

6. Demikian juga caranya sembahyang hari raya Aidiladha.



Khutbah Hari Raya Aidilfitri: 

73- عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ شَهِدْتُ صَلَاةَ الْفِطْرِ مَعَ نَبِيِّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ فَكُلُّهُمْ يُصَلِّيهَا قَبْلَ الْخُطْبَةِ ثُمَّ يَخْطُبُ. (رواه مسلم)

73- Dari Ibn Abbas r.a., katanya: "Saya telah turut hadir mengerjakan sembahyang hari raya Aidilfitri bersama-sama dengan Nabi Allah (Muhammad) s.a.w dan juga dengan (khalifah-khalifahnya) Abu Bakar, Umar dan Uthman (dalam zaman masing-masing), maka mereka semuanya mengerjakan sembahyang hari raya sebelum khutbah, kemudian baginda berkhutbah .. (1)

(Hadith Sahih - Riwayat Muslim)

Hadith ini menjadi dalil bahawa khutbah hari raya Aidilfitri hendaklah dilakukan sesudah mengerjakan sembahyang.(2)

Menurut huraian ulama' rahimahullah, khutbah hari raya Aidilfitri (dan juga khutbah Aidiladha) sama keadaannya dengan khutbah Jumaat tentang rukun-rukun dan sunatnya.

Dalam pada itu, khutbah hari raya Aidilfitri (dan juga khutbah Aidiladha) sunat dimulakan oleh khatib dengan sembilan takbir (berturut-turut) pada khutbah yang pertama dan tujuh takbir (berturut-turut) pada khutbah kedua.

Khatib juga dikehendaki menerangkan "hukum zakat fitrah" dalam khutbah hari raya Aidilfitri dan menerangkan "hukum korban binatang sembelihan" dalam kbutbah Aidiladha.(3)

sumber : www.islamgrid.gov.my

No comments:

Sila klik