Wednesday, December 7, 2011

Optimis Ombak Rindu mampu mencatat kutipan yang lebih baik

Ombak Rindu kutip RM4 juta
Oleh : SITI NURSYAHIDAH ABU BAKAR
Tarikh : December 6, 2011





Jika ditanya apakah isu yang menjadi perbualan hangat sekarang, pasti ramai akan memberi jawapan berkaitan filem Ombak Rindu.
Di sana sini, orang sibuk memperkatakan tentang kisah percintaan watak Izzah dan Haris dalam filem arahan Osman Ali itu.

Memulakan tayangan sejak Khamis lalu, filem adaptasi novel nukilan Fauziah Ashari, terbitan Alaf 21, Kumpulan Media Karangkraf itu mencatat sejarah apabila kutipan tiket hari pertamanya mencecah RM750,000.

Terkini, Osman sendiri mengesahkan dia mendapat maklumat daripada penerbit bahawa kutipan Ombak Rindu sehingga Ahad lalu sudah pun mencapai RM4 juta.

“Alhamdulillah, kutipan ini sangat memberangsangkan dan di luar jangkaan. Secara peribadi, pencapaian Ombak Rindu ini adalah yang terbaik bagi filem arahan saya,” katanya kepada Zass, semalam.

Melihatkan sambutan luar biasa itu, pengarah muda ini optimis Ombak Rindu mampu mencatat kutipan yang lebih baik sepanjang tempoh dua minggu wajib tayang.

“Sebagai pengarah, siapa yang tidak mahu filemnya mendapat kutipan pecah panggung. Jika Ombak Rindu melepasi kutipan RM6 juta, ia sudah cukup bagi saya.

“Jika lebih, saya anggap sebagai bonus, sekali gus memberi petanda bahawa filem bergenre cinta semakin mendapat ruang dan mampu menarik penonton ke pawagam,” katanya.
Sekuel Ombak Rindu?

Berdasarkan maklum balas di Internet, rata-rata mereka yang sudah menonton Ombak Rindu memuji dan memberi reaksi positif.

Namun, ada segelintir yang tidak menyukai kesudahan filem lakonan Maya Karin dan Aaron Aziz itu yang dikatakan seolah-olah tergantung.

Menjawab isu itu, Osman berkata, pengakhiran ceritanya memang dibuat begitu kerana novel Ombak Rindu sendiri mempunyai siri sambungannya.

“Saya tidak mahu cerita ini terus berakhir kerana perjalanan hidup Izzah dan Haris baru sahaja bermula.

“Jika tiada halangan, kemungkinan besar filem ini akan mempunyai sekuelnya. Ini kerana, masih banyak watak lain yang akan terus mengganggu kebahagiaan Izzah dan Haris,” katanya.
Sekiranya impian itu dapat direalisasikan, menurut Osman, perkara utama yang akan diberi penekanan adalah jalan ceritanya.

“Saya akan pastikan jalan cerita dalam sekuelnya lebih kuat kerana sudah tentu penonton meletakkan harapan tinggi setelah menonton filem pertama.

“Bagaimanapun, penonton tidak boleh mengharapkan persamaan seratus peratus dengan novel kerana filem adalah medium yang berbeza,” katanya.

- dipetik sepenuhnya dari Sinar Harian Online

No comments:

Sila klik