Friday, December 9, 2011

Farah ingin kembali merakamkan album

Farah Ingin Rakam Album Berkonsepkan Dakwah
Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI



Farah Diana Anuar ingin bergelar ibu. Foto Ihsan ASTRO.


KUALA LUMPUR: Penyanyi kelahiran program realiti Akademi Fantasia musim kedua, Farah Diana Annuar menberitahu ingin kembali merakamkan album baru tahun hadapan.

Farah, 26, berkata, dia begitu rindukan untuk merakamkan lagu baru untuk peminat setelah banyak menfokuskan kepada bidang pengacaraan dan mendirikan rumah tangga pada Julai lalu.

"Semasa mendapat peluang merakamkan sebuah lagu untuk program Ustazah Pilihan bertajuk Warisan Hawa ciptaan Edry Abdul Halim baru-baru ini membuatkan saya begitu rindu untuk kembali merakamkan album baru," ujarnya ketika ditemui mStar Online.

Farah berkata, untuk album terbaru itu nanti dia ingin merakamkan lagu-lagu dakwah yang santai untuk menarik lebih banyak golongan belia mendengar lagu-lagu berunsur keagamaan.

Ujarnya lagi, dia juga ingin mendapatkan khidmat daripada komposer terkenal seperti Yasin dan Sham Kamikaze untuk bekerjasama dengannya nanti.

"Saya memang sudah lama berminat dengan hasil kerja Yasin dan Sham, jika dapat bekerja dengan mereka adalah satu peluang besar untuk saya," katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kerjaya lakonan, Farah memberitahu dia tidak lagi menerima sebarang tawaran berlakon kerana merasakan tidak sesuai dengannya.

Katanya, sikapnya yang tidak sabar menunggu menyebabkan dia lebih selesa menggalas tanggungjawab sebagai seorang penyanyi dan pengacara.

"Fokus saya kini adalah kepada pengacaraan dan nyanyian kerana ia lebih sesuai dengan saya," ujarnya.

Farah baru muncul dengan program Rasa Halal Laos dan Thailand di Astro Oasis.

Sementara itu, bercakap mengenai kehidupannya sebagai isteri kepada Johan Johari, Farah memberitahu perkahwinan telah banyak mengajarnya erti tanggungjawab sebagai seorang wanita dan isteri.

Farah berkata, walaupun sering berulang alik dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur untuk memenuhi undangan pentas dan mengacara program Nasi Lemak Kopi O, suaminya amat memahami dan sentiasa menyokong kerjaya seninya.

"Sekarang saya menetap di Pulau Pinang dan berulang alik ke Kuala Lumpur pada hujung minggu dan Alhamdulilah suami memahami dan menyokong kerjaya seni saya," katanya.

Ditanya mengenai anak, Farah berkata dia berharap akan dikurniakan cahaya mata dalam masa terdekat kerana merasakan usia 26 tahun sesuai untuk melahirkan anak.

"Masih belum ada rezeki tetapi saya dan suami tidak menolak jika diberikan anak dalam masa terdekat," ujarnya.

- dipetik sepenuhnya dari mStar Online

No comments:

Sila klik