KEMBALI bersemangat untuk meneruskan agenda di bidang nyanyian setelah hampir setengah tahun berehat untuk memberi tumpuan kepada kesihatan suami.
BANYAK yang melahirkan rasa gembira apabila penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza memilih untuk tampil bertudung penuh.
Meninggalkan imej bertudung 'sekerat' yang menampakkan sebahagian jambulnya, Siti hari ini kelihatan bertambah jelita dan yakin dengan penampilan diri bermula awal Januari lalu.
Bagaimanapun, tidak dinafikan ada juga segelintir di kalangan selebriti ini kembali membuka tudung dengan pelbagai alasan dan sebab musabab tersendiri. Sudah pastinya sebab musabab ini sukar untuk diterima ramai.
Kontroversi sedemikian merupakan antara perkara yang paling ditakuti isteri kepada Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa ini. Kebimbangan itu lebih terserlah apabila membicarakan soal video muzik lagu terbaharunya, Galau.
Ini kerana dalam muzik video tersebut, Siti masih mengenakan fesyen bertudung yang menampakkan sebahagian depan rambutnya. Kini apabila ia dilancarkan, Siti telah pun mengambil inisiatif untuk berhijrah sepenuhnya.
"Saya amat memikirkan berhubung perkara tersebut kerana saya faham masyarakat amat sensitif berhubung perkara tersebut. Saya risau kerana imej itu yang ditonjolkan dalam Galau. Apatah lagi apabila saya merupakan figura umum yang pastinya tidak terlepas daripada kritikan peminat mahupun masyarakat," katanya.
Disebabkan itu, Siti mengambil kesempatan sewaktu majlis pelancaran lagu dan muzik video tersebut yang diadakan di Menara Kuala Lumpur baru-baru ini untuk menerangkan secara jelas berhubung perkara tersebut.
"Saya berharap muzik video itu tidak akan menimbulkan sebarang isu khususnya berhubung penampilan saya yang berbeza dengan kini.
"Saya ingin beritahu bahawa muzik video tersebut dirakamkan penghujung tahun lalu di mana memang pada waktu tersebut saya masih belum bertudung sepenuhnya seperti sekarang.
"Oleh itu, saya yakin masyarakat dan peminat saya khususnya boleh menerima perkara tersebut kerana apa yang dipaparkan adalah gaya pemakaian saya yang terdahulu," katanya.
Jelas Siti lagi, dia juga tidak boleh menghalang pihak rakaman iaitu Universal Music Malaysia daripada tidak mengedarkan video terbabit atau melakukan rakaman baru.
Ini kerana dia faham, tuntutan itu memakan masa dan juga kos yang tinggi.
"Jadi saya berharap perkara ini tidak akan menjadi suatu masalah. Semoga tidak ada pihak yang terkeliru kerana ia adalah rakaman lama yang baru dilancarkan," katanya lagi.
Kembali tumpu nyanyian
Jika sebelum ini, penyanyi kesayangan ramai ini sering sibuk dengan pelbagai undangan nyanyian di dalam dan luar negara, terhenti apabila suaminya, Datuk K terlibat dengan kemalangan jalan raya di Queenstown, New Zealand pada Disember 2012.
Akibat daripada kejadian tersebut, Siti mengambil keputusan untuk berehat seketika daripada bidang seni kerana mahu memberi fokus kepada menjaga suaminya yang memerlukan sekurang-kurang lima bulan untuk kembali pulih.
"Sejak kemalangan yang berlaku tahun lalu, tidak dinafikan banyak jadual kerja yang telah ditetapkan terpaksa ditangguhkan dahulu.
"Ini adalah masa untuk Siti memberi tumpuan kepada perkara yang lebih utama dalam kehidupan iaitu keluarga dan suami tercinta," kata Siti.
Tidak menceritakan secara terperinci tetapi menurut Siti, banyak jadual hariannya khususnya berkaitan bidang seni terpaksa dibatalkan atau ditangguhkan dahulu dan mujurlah semua pihak memahami perkara yang telah terjadi.
Kini, setelah suaminya semakin pulih daripada kejadian terbabit, Siti kembali mengorak langkah mengukuhkan namanya sebagai penyanyi nombor satu tanah air dengan mengeluarkan beberapa single baharu, Lebih Indah dan Galau.
Selain itu, Siti juga bakal kembali dengan album penuh baharu yang dijangka mula berada di pasaran selewat-lewatnya penghujung tahun ini.
"Alhamdulillah segalanya telah kembali kepada keadaan asal dan ini membuatkan Siti kembali aktif dalam bidang seni. Insya-Allah dalam bulan Ramadan akan datang, Siti akan memulakan sesi rakaman untuk album terbaharu yang bakal menemui peminat tidak lama lagi.
"Buat masa ini, pihak kami masih dalam proses pemilihan lagu-lagu terbaik daripada sejumlah 30 buah lagu untuk dimuatkan dalam album baru tersebut," katanya yang turut mendapatkan kerjasama daripada komposer tempatan dan juga Indonesia.
Sumber: © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment