Tuesday, November 29, 2011

Kesesakan lalu lintas yang teruk pada musim perayaan




Khamis November 10, 2011

Sikap Pentingkan Diri Sendiri Punca Kesesakan Di Musim Perayaan
Oleh B. KUMARATHEVAN

Saudara Pengarang,

SETIAP kali menjelmanya musim perayaan, kebanyakan laluan utama di negara kita sudah pastinya akan mengalami kesesakan lalu lintas yang teruk dan akan bertambah teruk jika hujan.

Walaupun ini adalah senario yang biasa tetapi apa yang paling memalukan adalah sikap sesetengah pemandu kita.

Pemandu-pemandu yang tidak bertimbang rasa sering memotong deretan panjang kenderaan (di kedua-dua belah jalan iaitu kiri dan kanan) dalam usaha mereka untuk sampai ke destinasi dengan lebih cepat.

Sebenarnya nekad mereka itu menambahkan lagi kesesakan lalu lintas. Ramai pemandu juga didapati jarang menggunakan lampu isyarat semasa memotong kenderaan lain.

Sikap mementingkan diri menjadi punca ancaman bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain dan sudah tentu kepada diri mereka sendiri.

Tiap-tiap musim perayaan, ramai orang maut akibat kemalangan jalan raya di negara kita kerana pelbagai sebab termasuk kecuaian pemandu.

Ia amat menakutkan terutamanya di jalan-jalan kecil seperti jalan dari Gua Musang, Kelantan ke Raub, Pahang yang saya dan isteri saya gunakan sehari sebelum Hari Raya Aidiladha baru-baru ini.

Pemanduan yang berbahaya oleh beberapa pemandu yang meredah lorong kami secara tiba-tiba itu benar-benar menakutkan.

Malahan mereka juga bersedia untuk mengambil risiko yang tinggi dengan memotong lorong garis berkembar (double line) dan sudut-sudut tajam dengan tindakan tergesa-gesa mereka di jalan raya.

Walaupun terdapat beberapa kemalangan sepanjang jalan raya yang melibatkan kereta, motosikal dan lori, tetapi ini sama sekali tidak membawa keinsafan kepada pemandu-pemandu yang tidak bertanggungjawab ini.

Mereka seolah-olah seperti tidak peduli langung malapetaka yang berlaku di hadapan mata mereka.

Jalan di antara Gua Musang dan Raub yang melalui kawasan terpencil, ladang-ladang kelapa sawit dan getah serta beberapa kawasan kemalangan di sepanjang jalan berkenaan terdedah kepada bahaya terutamanya pada waktu malam kerana ia sempit dan tiada lampu jalan kecuali di beberapa tempat tertentu.

Saya berharap pihak berkuasa akan meluaskan jalan tersebut dan memasang lampu jalan kerana ia juga diguna oleh pelbagai kenderaan berat termasuk bas ekspres dua tingkat dan treler dari Selatan untuk ke Kota Bahru.

Polis trafik dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) harus mengawasi jalan berkenaan serta jalan utama yang lain sebaik-baiknya dengan motosikal mereka (pada musim perayaan misalnya) dari semasa ke semasa.

Tetapi walau bagaimana sekalipun pihak berkuasa menjalankan penguatkuasaan, tetapi jika tidak wujud kesedaran dan pemanduan secara beradab, rakyat kita akan tetap terdedah kepada ancaman kemalangan maut.

Kumarathevan Balakrishnan
Gua Musang, Kelantan.

sumber: mStar Online

No comments:

Sila klik